Friday, September 7, 2012

Ilham Hati..


Kekasihku..
Kasih..
Telah ku cuba untuk melupakanmu..
Namun ku tak mampu..
Dengarkanlah duhai kasih..
Cinta di hati ini hanya untuk kamu..
Percayalah duhai kasih..
Hanya dirimu yang ku cintai..
Jangan pergi meninggalkan aku..
Kembalilah kasih..
Kita buka lagi lembaran baru..
Berdua kita melakar cinta..
Hingga akhir nafas kita berdua..

Setulus Hatiku..
Tuhan..
Jagakan dia..
Dia kekasihku..
Aku..
Sungguh mencintai..
Sungguh menyayangi..
Setulus hatiku..

Bicara Tentang Cinta 1


Hatiku berlagu rindu dan pilu lagi. Mengenangkan cinta yang masih belum kesampaian. Hatiku gundah saat membaca novel dan juga menonton drama cinta yang romantis. Hatiku sangat mendambakan situasi yang serupa, namun tak semua cerita di dunia merupakan cinta yang indah tanpa wujudnya cabaran. Aku menangis sendiri bila memori-memori itu terlayar di ruang fikiranku. “Tuhan menghadiahi kita dengan sesuatu yang kita rasakan tidak sempurna, tetapi itulah yang sebenarnya terbaik dan manis untuk kita. Sebaliknya apa yang kita rasakan sempurna buat kita itulah yang mengakibatkan kita menderita dan sakit hati”

Setiap kali aku mendengar lagu-lagu rindu dan cinta, aku akan merasa sayu hati. Aku rasakan diri aku masih belum sempurna walaupun aku sedaya-upaya menyempurnakan diri aku sebaik mungkin. Aku cemburu. Ya! Aku merasa cemburu dengan rakan-rakanku yang telah pun mendapat cinta sejati daripada Allah s.w.t. Aku cemburu melihat mereka tersenyum bahagia. Adakah tiada bahagia untuk aku? Adakah perkataan bahagia itu sendiri yang menjauhkan diri daripada mendekati aku?Aku cuba untuk membuka ruang di hati aku untuk lelaki namun perasaan hilang kepercayaan terhadap kaum Adam yang sangat kuat membuatkan aku seperti seorang yang fobia cinta dan fobia lelaki. Aku menjadi takut untuk menyerahkan jiwa aku kepadanya. Aku bimbang aku diperalatkan, dipermainkan dan ditinggalkan tanpa belas kasihan lagi. Jika aku seorang lelaki, adakah aku akan melakukan perkara yang sama terhadap kaum Hawa? Aku sangat penat untuk menanggung lagi perasaan seperti itu. Aku hanya mahukan bahagia untuk aku.


Sejak kebelakangan ini, ramai sahabat-sahabat aku yang telah memperoleh restu untuk mendirikan rumahtangga bersama dengan pasangan masing-masing. Aku berdoa dalam air mata, bukan kerana aku sedih dengan berita ini tetapi aku gembira kerana mereka tidak menerima nasib  seperti aku yang masih tercari-cari erti bahagia sebenar. “Tuhan menduga setiap insan mengikut kemampuan mereka.” Aku seorang yang kuat, oleh itu aku harus terima setiap suratan ini dengan penuh redha dan ikhlas. Semoga aku juga akan memperoleh bahagia itu, sepertimana rakan-rakan aku. Mereka sedang mengecapi nikmat hidup di dunia ini. Dan aku pula harus lebih banyak bersabar menerima suratan takdir ini.


Perkahwinan. Aku dambakan majlis yang sangat sederhana namun cukup meriah dan beerti buat kami sekeluarga. Jika hajat aku diperkenankan Ilahi, aku hanya mahukan majlis pertunangan seiring dengan majlis akad nikah. Pada sebelah pagi, aku akan didatangi pihak keluarga lelaki merangkumi adat merisik, meminang dan juga bertunang yang akan dilakukan di atas pelamin yang tidak mewah namun indah nian. Cukuplah hanya beberapa jam aku menjadi tunangan orang, asalkan tetap menjaga adat dan budaya. “Biar mati anak, jangan mati adat.”


Namun tidaklah keterlaluan, cukuplah sekadar mengambil syarat. Jika diizinkan, memadai sahaja dengan memakai baju kurung bersulam dan berwarna hijau epal ataupun kuning air. Biar manis dipandang para tetamu. Pada sebelah malam pula, akan diadakan majlis akad nikah dalam serba putih yang sangat indah. Bersama mas kahwin yang paling murah, aku dengan sepenuh hati menerima si dia sebagai suami, kekasih, sahabat dan juga pelindungku.Akulah Hawa yang diciptakan daripada rusuk kirinya. Untuk disayangi, dimanjai, dilindungi, dikasihi dan dididik untuk menjadi bidadari syurga untuknya di Akhirat sana. Insya-Allah, Amin.. Jika diizinkan kedua-dua belah pihak, tiada majlis persandingan diadakan. Cukuplah sekadar singgah sana yang dihiasi indah, cantik dan sederhana. Berserta dengan bunga-bunga segar mewangi dan mendamaikan hati. Bukanlah kedekut mahupun ketinggalan zaman, tetapi lebih baik tidak membazir hanya untuk satu perkara. “Bersederhana itu lebih baik berbanding untuk menunjuk-nunjuk dan megah diri.” Pakaian pula sama ada berwarna ungu gelap, jingga ataupun merah hati yang bersesuaian dengan keadaan pada masa tersebut.


Majlis itu akan disertakan bersama majlis tahlil untuk Allahyarham ayahandaku dan juga Allahyarhamah nendaku yang amat aku kasihi, sayangi lagi dirindui. Semoga perkahwinan aku dan juga suamiku lebih dirahmati Tuhan. Bagi melakarkan kenangan abadi, aku hanya mahu mencoretkan potret aku bersamanya di dalam foto yang akan diambil di satu tempat yang sesuai tanpa berlebih-lebihan, sekadar mengabadikan peristiwa manis dalam hidup aku dan dirinya.


Siapakah dirinya? Aku masih belum ada jawapannya. Adakah si dia akan bahagia bersama denganku? Aku akan pastikan si dia merasa sangat bahagia bersamaku, susah dan senang sentiasa bersama-sama. Insya-Allah, Amin..