Hatiku berlagu rindu dan
pilu lagi. Mengenangkan cinta yang masih belum kesampaian. Hatiku gundah saat
membaca novel dan juga menonton drama cinta yang romantis. Hatiku sangat
mendambakan situasi yang serupa, namun tak semua cerita di dunia merupakan cinta
yang indah tanpa wujudnya cabaran. Aku menangis sendiri bila memori-memori itu
terlayar di ruang fikiranku. “Tuhan
menghadiahi kita dengan sesuatu yang kita rasakan tidak sempurna, tetapi itulah
yang sebenarnya terbaik dan manis untuk kita. Sebaliknya apa yang kita rasakan
sempurna buat kita itulah yang mengakibatkan kita menderita dan sakit hati”
Setiap kali aku
mendengar lagu-lagu rindu dan cinta, aku akan merasa sayu hati. Aku rasakan
diri aku masih belum sempurna walaupun aku sedaya-upaya menyempurnakan diri aku
sebaik mungkin. Aku cemburu. Ya! Aku merasa cemburu dengan rakan-rakanku yang
telah pun mendapat cinta sejati daripada Allah s.w.t. Aku cemburu melihat
mereka tersenyum bahagia. Adakah tiada bahagia untuk aku? Adakah perkataan
bahagia itu sendiri yang menjauhkan diri daripada mendekati aku?Aku cuba untuk membuka
ruang di hati aku untuk lelaki namun perasaan hilang kepercayaan terhadap kaum
Adam yang sangat kuat membuatkan aku seperti seorang yang fobia cinta dan fobia
lelaki. Aku menjadi takut untuk menyerahkan jiwa aku kepadanya. Aku bimbang aku
diperalatkan, dipermainkan dan ditinggalkan tanpa belas kasihan lagi. Jika aku
seorang lelaki, adakah aku akan melakukan perkara yang sama terhadap kaum Hawa?
Aku sangat penat untuk menanggung lagi perasaan seperti itu. Aku hanya mahukan
bahagia untuk aku.
Sejak kebelakangan ini,
ramai sahabat-sahabat aku yang telah memperoleh restu untuk mendirikan
rumahtangga bersama dengan pasangan masing-masing. Aku berdoa dalam air mata,
bukan kerana aku sedih dengan berita ini tetapi aku gembira kerana mereka tidak
menerima nasib seperti aku yang masih
tercari-cari erti bahagia sebenar. “Tuhan menduga setiap insan mengikut kemampuan mereka.” Aku seorang yang kuat, oleh itu aku harus terima setiap
suratan ini dengan penuh redha dan ikhlas. Semoga aku juga akan memperoleh
bahagia itu, sepertimana rakan-rakan aku. Mereka sedang mengecapi nikmat hidup
di dunia ini. Dan aku pula harus lebih banyak bersabar menerima suratan takdir
ini.
Perkahwinan. Aku
dambakan majlis yang sangat sederhana namun cukup meriah dan beerti buat kami
sekeluarga. Jika hajat aku diperkenankan Ilahi, aku hanya mahukan majlis
pertunangan seiring dengan majlis akad nikah. Pada sebelah pagi, aku akan
didatangi pihak keluarga lelaki merangkumi adat merisik, meminang dan juga
bertunang yang akan dilakukan di atas pelamin yang tidak mewah namun indah nian.
Cukuplah hanya beberapa jam aku menjadi tunangan orang, asalkan tetap menjaga
adat dan budaya. “Biar mati
anak, jangan mati adat.”
Namun tidaklah
keterlaluan, cukuplah sekadar mengambil syarat. Jika diizinkan, memadai sahaja
dengan memakai baju kurung bersulam dan berwarna hijau epal ataupun kuning air.
Biar manis dipandang para tetamu. Pada sebelah malam pula, akan diadakan majlis
akad nikah dalam serba putih yang sangat indah. Bersama mas kahwin yang paling
murah, aku dengan sepenuh hati menerima si dia sebagai suami, kekasih, sahabat
dan juga pelindungku.Akulah Hawa yang
diciptakan daripada rusuk kirinya. Untuk disayangi, dimanjai, dilindungi,
dikasihi dan dididik untuk menjadi bidadari syurga untuknya di Akhirat sana.
Insya-Allah, Amin.. Jika diizinkan kedua-dua belah pihak, tiada majlis
persandingan diadakan. Cukuplah sekadar singgah sana yang dihiasi indah, cantik
dan sederhana. Berserta dengan bunga-bunga segar mewangi dan mendamaikan hati.
Bukanlah kedekut mahupun ketinggalan zaman, tetapi lebih baik tidak membazir
hanya untuk satu perkara. “Bersederhana
itu lebih baik berbanding untuk menunjuk-nunjuk dan megah diri.” Pakaian pula sama ada
berwarna ungu gelap, jingga ataupun merah hati yang bersesuaian dengan keadaan
pada masa tersebut.
Majlis itu akan
disertakan bersama majlis tahlil untuk Allahyarham ayahandaku dan juga
Allahyarhamah nendaku yang amat aku kasihi, sayangi lagi dirindui. Semoga
perkahwinan aku dan juga suamiku lebih dirahmati Tuhan. Bagi melakarkan
kenangan abadi, aku hanya mahu mencoretkan potret aku bersamanya di dalam foto
yang akan diambil di satu tempat yang sesuai tanpa berlebih-lebihan, sekadar
mengabadikan peristiwa manis dalam hidup aku dan dirinya.
Siapakah dirinya? Aku
masih belum ada jawapannya. Adakah si dia akan bahagia bersama denganku? Aku
akan pastikan si dia merasa sangat bahagia bersamaku, susah dan senang sentiasa
bersama-sama. Insya-Allah, Amin..